Saturday 19 March 2016

Menjejak Gerhana di Palembang :: Shopping dan wisata terakhir di Palembang (Bahagian 8)

Alhamdulillah selepas selesai cerapan dan solat kusuf, kami pulang untuk berkemas keluar dari Wisma Atlet. Pada waktu inilah kami dapat bil bayaran RM650, seperti yang diceritakan dalam bahagian yang lalu.

Sebelum pulang ke Kota Palembang, kami dibawa bersiar di sekitar Wisma Atlet terlebih dahulu.

Tiba-tiba banyak pula saya berselfie. Latar belakang Stadium Gelora Sriwijaya. Ini sebahagian daripada Wisma Atlet. Kesemua acara sukan bertaraf antarabangsa boleh dianjurkan di dalam kawasan ini. 

Pada peringkat awal idea pembinaan Wisma Atlet, ramai yang tidak yakin akan kejayaannya. Tetapi, mereka berjaya membuktikan di mana ada kemahuan, di situ ada seribu jalan. Malangnya, dikhabarkan ada beberapa orang pengasas Wisma Atlet yang ditahan polis kerana korupsi.  
Ini Bapa Ruda, pengurus agensi pelancongan kami di Palembang. Baik hati orangnya. Terima kasih atas budi baik yang diberikan sepanjang melayan kami di Palembang. 

Setelah checkout dari Wisma Atlet, kami menyeberangi Jambatan Ampera sekali lagi. Kali ini, dengan satu misi, iaitu shopping. 

Ketika saya menjalankan kajian, berwisata dan berkhutbah di Palembang, alhamdulillah artikel saya diterbitkan di dalam Berita Harian. 

Destinasi pertama: shopping tekstil. Bila turun bas, pekerja kedai ini akan menampal sticker khas di lengan kami. 

Palembang terkenal dengan songket dan tenunannya. Tanjak Palembang itu, dijual daripada harga semurah IDR50,000 sahaja. Saiz boleh diubah. Tema songket juga dijadikan cenderahati lain. Saya beli satu tanjak Palembang sebagai kenang-kenangan, dengan harapan agar tanjak Getam Budur dan tanjak Tekur Tukang Besi ku di Malaysia tidak berkecil hati, bahkan bergembira dapat sahabat baru. 

Beg tangan juga bermotifkan kain songket. 

Di belakang kedai ini, ada satu galeri yang menunjukkan proses menenun songket. Ada 4 orang gadis Palembang yang fokus melakukan kerja mereka, tidak menghiraukan telah pengunjung yang mengambil gambar dan mengusik mereka. Orang Palembang persis orang Malaysia sahaja susuk dan paras rupa mereka. 


Us Rahman, orang kuat MUIP, sedang menjalankan tugas sebagai seorang suami mithali. Isteri di tanah air tidak dilupakan. 

Saya memang tiada kemahiran dan pengetahuan seni tekstil orang perempuan. Mujurlah ramai pewisata wanita yang membantu saya memilih kain untuk emak, isteri dan anak-anak. Harga di sini sedikit tinggi berbanding kedai lain di Palembang, tetapi masih murah berbanding di Malaysia. Tetapi apa salahnya kita sokong bisnes mereka kan? Kalau nak beli dengan harga yang murah, bolehlah berkunjung ke Ramayana. 

Setelah membayar, dalam perjalanan keluar, kita akan melalui satu kafe. Segala-galanya gratis, percuma di sini. Daripada kopi, air kotak jus, kuih dan seumpamanya. Syaratnya, sticker di lengan masih ada. Perkhidmatan yang terbaik!

Antara makanan yang dijamu secara gratis. 

Antara kain yang saya beli untuk mak, isteri dan anak-anak. Terima kasih Datin dan Ustaz Sheikh atas panduan memilih yang dikongsikan. 

Selepas shopping di kedai tersebut, kami dibawa makan tengahari di MusiMania. Kedai ala hipster ini menawarkan konsep hidangan ala masakan Padang juga rasanya.  T-shirt yang dijual di tingkat bawah kedai ini amat berkualiti dan harganya berpatutan. 

Selepas makan, kami solat di masjid di hadapan Musi Mania. Saya terlupa nama masjid ini, tetapi apabila saya masuk, ada seorang petugas yang akan menawar diri untuk menyimpan kasut saya. Demikianlah gigihnya orang Palembang bekerja. Saya hargai.

Persekitaran dalam masjid di Palembang sedikit berbeza dengan di Malaysia. Khasnya bagi wanita, mungkin akan sedikit berasa kekok. Ada beberapa musolla kecil yang tiada tempat wudu' khas untuk wanita. Di masjid ini, diasingkan. Kemudian tirai juga tiada. Mungkin kekok bagi Muslimah Malaysia menukar tudung dan seumpamanya, tetapi tidak bagi warga tempatan. Ruang solat juga sedikit terbuka seperti gambar ini. Di dalam ruang solat ini juga, saya saksikan pegawai masjidnya merokok. Satu kebiasaan di Indonesia. 

Selepas solat, kami dibawa membeli belah di Ramayana. Terus terang, saya tidak tahu untuk beli apa. Warga Palembang seakan-akan melepaskan peluang ramai pelancong sempena gerhana matahari dengan tidak menjual cenderahati seperti tshirt dan key chain. Fridge magnet pun tidak dijual langsung di sini. Akhirnya, ke kedai kerepek jualah duit rupiahku pergi...

Ini antara madu asli Pulau Bangka. Tapi kata ibu Ninik dan ibu Inda, kalau nak tau madu itu asli, sila bawa ke rumah di Malaysia. Sekiranya ada pinggan terbang, maka sah itu adalah madu asli. 

Selepas membeli kerepek, kami dibawa makan malam di Rumah Makan Beringin. Restoran ini terkenal dengan pempek. Di dalam gambar ini, ialah Tekwan, mirip sup ikan dengan bebola udang dan juga ikan. Sedap, tetapi tidak boleh dimakan setiap hari mengikut selera saya. 

Ini antara pempek yang dibuat segar di tingkat bawah kedai.
Timelapse pekerja Beringin membuat pempek

Timelapse keadaan trafik waktu tidak macet dari lantai 2 Beringin


Alhamdulillah sekitar jam 8 malam, kami pulang ke hotel. Saya perlu berkemas kerana akan kembali ke Malaysia esok hari. Sementara Dr Hasan pula akan pulang pada hari Jumaat.

Tiadalah aktiviti yang paling malas saya buat dalam mana-mana rombongan, melainkan berkemas untuk pulang.

Nantikan sambungan dalam Bahagian 9 (terakhir).

3 comments:

  1. Catatan yang menarik dan bermanfaat untuk para musafir dan penggiat astronomi/falak. Teruskan bermusafir tuan!

    ReplyDelete
  2. Catatan yang menarik dan bermanfaat untuk para musafir dan penggiat astronomi/falak. Teruskan bermusafir tuan!

    ReplyDelete
  3. Salam tuan, kalau tak keberatan, boleh minta kongsi contact number bapak Ruda pengurus agensi pelancongan di Palembang? kalau tiada nama company saja pun tak apa. Terima kasih

    ReplyDelete